KENYATAAN MEDIA BERSAMA EMGS DAN MQA MEMPERBAHARUI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN STATUS AKREDITASI PROGRAM PENGAJIAN UNTUK PELAJAR ANTARABANGSA

CYBERJAYA, 6th SEPTEMBER 2022 – Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkasakan kerjasama strategik selaras dengan hasrat untuk mempermudahkan proses kemasukan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka di Malaysia. MoU ini telah ditandatangani oleh YBrs. Encik Mohd Radzlan Bin Jalaludin, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS dan YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohamad Shatar Bin Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif MQA dengan disaksikan oleh wakil pegawai daripada kedua-dua agensi tersebut. Majlis menandatangani memorandum ini telah diadakan di Galeri Mercu MQA, Cyberjaya. 

 

Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui oleh EMGS dan MQA melalui MoU ini adalah memperkukuhkan serta memperkembangkan kerjasama bersepadu diantara kedua belah pihak dalam proses perkongsian data Malaysian Qualifications Register (MQR) dan data Akreditasi Sementara oleh MQA kepada EMGS bagi tujuan semakan status akreditasi program pengajian untuk pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di Malaysia. 

 

Selain itu juga, pihak MQA diberikan kemudahan mengakses data yang bersesuaian menerusi sistem Student Application Registration (STARS) dan Dashboard EMGS bagi kegunaan pegawai MQA untuk rujukan dan semakan kesahihan maklumat pelajar antarabangsa seterusnya memastikan kursus – kursus yang ditawarkan mempunyai akreditasi yang dikemaskini mengikut rekod MQA. 

 

Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan lebih banyak kerjasama strategik kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara bersepadu dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia. EMGS juga komited akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025.

EDUCATION MALAYSIA GLOBAL SERVICES (EMGS) DAN AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA (MQA)

6th SEPTEMBER 2022

Sign up for our Newsletter

Stay up to date upcoming events from Education Malaysia Global Services Community.