
EMGS telah menyertai Mesyuarat Majlis Dekan Pengajian Siswazah (MDPS) Universiti Awam Kali Ke 63 pada 28 Jun 2021. Mesyuarat kali ini telah memberi peluang pada Pihak EMGS untuk membuat pembentangan laporan dan perkembangan yang terkini berkenaan aktiviti-aktiviti Pemasaran EMGS untuk mempromosikan jenama ‘Study in Malaysia’.
Bahagian International Student Management Services (ISMS) dari EMGS juga telah membuat pembentangan Prosedur Urusan Kemasukan Pelajar Antarabangsa ke Malaysia, manakala Bahagian Strategi Korporat EMGS telah membentangkan Statistik Pelajar Antarabangsa ke Malaysia bagi tahun 2021. Mesyuarat ini telah diakhiri dengan sesi soal jawab mengenai isu-isu semasa berkaitan pengendalian Pelajar Antarabangsa di Malaysia. Pelan-pelan yang telah dibentangkan juga akan menyokong seluruh IPTA dan IPTS melalui aktiviti-aktiviti pemasaran yang berkaitan.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengerusi baharu MDPS, Prof. Ida Madieha Bt. Abdul Ghani Azmi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ahli-ahli MDPS dan wakil-wakil dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysian Qualification Agency (MQA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah turut serta dalam mesyuarat ini. Wakil dari EMGS telah diketuai oleh En. Ramlan Abd Aziz dan wakil-wakil dari Bahagian ISMS, Bahagian Strategi Korporat dan Bahagian Penjenamaan dan Pemasaran.