MALAYSIA TERUS MENJADI DESTINASI PILIHAN PELAJAR ANTARABANGSA DARI INDONESIA

JAKARTA, INDONESIA, 4 MAC 2023 – Malaysia merupakan antara hab bakal dan ilmu yang popular di kalangan pelajar antarabangsa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sehubungan dengan itu, bagi mempromosikan jenama ‘Study in Malaysia’, Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Education Malaysia Indonesia (EMI) telah melancarkan sebuah pameran pendidikan ‘Ayo Kuliah di Malaysia’ dari 2 hingga 5 Mac 2023 di Medan, Jakarta dan Depok, Indonesia. Program ini juga berpeluang untuk menghubungkan pelajar Indonesia serta ibu bapa mereka dalam mendapatkan maklumat secara langsung dari wakilwakil institusi pengajian tinggi di Malaysia untuk menyambung pengajian di Malaysia.

Pameran pendidikan ‘Ayo Kuliah di Malaysia’ kali ini mendapat penyertaan daripada 18 institusi pengajian tinggi di Malaysia seperti Asia Metropolitan University (AMU), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), International Islamic University Malaysia (IIUM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Management and Science University (MSU), Peninsula College Malaysia, Sunway University, Taylor’s University, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaya (UM), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan University College Sedaya International (UCSI).

Indonesia dan Malaysia juga telah menjalinkan hubungan kerjasama yang baik sejak dahulu lagi, terutamanya dalam sektor pendidikan. Pelbagai biasiswa untuk melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia juga telah ditawarkan untuk pelajar-pelajar Indonesia. Menurut data terkini daripada EMGS, Indonesia kini berada di antara lima negara teratas dalam senarai negara dengan permohonan tertinggi dari pelajar antarabangsa sehingga Februari 2023. Antara bidang pengajian yang popular di kalangan pelajar Indonesia adalah Business and Administration, Computing, General Programmes, Arts Programmes dan Engineering and Engineering Trades. Kedudukan negara jiran, persamaan bahasa dan budaya, pembiayaan pengajian yang berpatutan dan ranking universiti yang tinggi adalah antara kekuatan Malaysia yang terus menjadi destinasi pilihan utama untuk pelajar-pelajar Indonesia.

EMGS merupakan sebuah organisasi yang menguruskan pergerakan pelajar antarabangsa di Malaysia, termasuk pemprosesan visa melalui sebuah sistem terkini ‘Student Application and Registration System (STARS)’ yang memenuhi ciri keselamatan terkini dan dikemas kini. Melalui program ‘Ayo Kuliah di Malaysia’, EMGS berharap agar inisiatif ini dapat memanfaatkan dan menghubungkan lebih banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan pelajar antarabangsa serta ibubapa pelajar khususnya di Indonesia.

EDUCATION MALAYSIA GLOBAL SERVICES (EMGS)
4 MAC 2023

Top