KERJASAMA STRATEGIK BAHAGIAN HAL EHWAL IMIGRESEN (BHEI) KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN) DAN EMGS UNTU

PUTRAJAYA, 2 DISEMBER 2022 –Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) hari ini telah melancarkan Sistem Kelulusan Pengambilan Pelajar Antarabangsa di Institusi Pendidikan (SKPA) bertempat di Hotel Le Méridien, Putrajaya. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Setiausaha KDN. Majlis ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan wakil-wakil institusi pendidikan di Malaysia.  

Inisiatif pembangunan SKPA ini merupakan suatu bentuk kerjasama antara kedua-dua belah pihak yang telah bermula dari tahun 2019 bagi menyahut aspirasi Kerajaan ke arah pendigitalan sektor awam. Tujuan utama pembangunan sistem adalah untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kementerian kepada pihak berkepentingan dan memperkenalkan format baharu kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa dalam bentuk sijil digital. Sistem ini membolehkan proses pendigitalan surat kelulusan dan pengeluaran sijil oleh pihak KDN. Sijil tersebut dilengkapi dengan ciri-ciri kod QR bagi tujuan pengesahan ketulenan serta tempoh sah kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa oleh institusi pendidikan di Malaysia.   

Di samping itu, sistem ini membantu mempercepatkan proses pengemaskinian keputusan permohonan kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa daripada KDN ke dalam sistem EMGS iaitu Student Application Registration System (STARS) bagi memastikan SOP dipatuhi oleh institusi dan agensi kawal selia yang berkaitan.  

Kerjasama ini dijangka akan meningkatkan lagi kerjasama strategik agensi di bawah KPT dan KDN secara bersepadu dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia

EDUCATION MALAYSIA GLOBAL SERVICES (EMGS)
2 DISEMBER 2022
Top