KERJASAMA PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA-MALAYSIA MELONJAK KE TAHAP YANG LEBIH TINGGI

KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2024 — Education Malaysia Global Services (EMGS) mencatatkan lonjakan 39 peratus permohonan pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian di Malaysia setakat Julai tahun ini, didorong minat dan permintaan tinggi pelajar dan institusi di Indonesia. Sebanyak 3,145 permohonan telah diterima EMGS pada bulan tersebut berbanding 2,269 permohonan di bulan yang sama pada tahun 2023.

EMGS secara berterusan mengadakan pameran pendidikan ‘Ayo Kuliah di Malaysia’ di Indonesia untuk memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat yang tepat daripada institusi pendidikan tinggi Malaysia mengenai program yang ditawarkan. Pameran pendidikan ‘Ayo Kuliah di Malaysia’ telah diadakan di empat wilayah dengan menjelajah beberapa kota utama termasuk Jawa, Kalimantan, Pontianak dan Sumatera yang disertai lebih daripada 50 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta Malaysia.

Lebih daripada 10,000 pengunjung hadir untuk mendapatkan khidmat rundingan dari pegawai universiti yang terlibat, dengan program di Pontianak mencatatkan kunjungan tertinggi, diikuti Jawa, Sumatera dan Kalimantan.

EMGS juga berkerjasama dengan pempengaruh terdiri daripada alumni pelajar Indonesia untuk menyebarluaskan maklumat di media sosial, manakala inisiatif lapan universiti Malaysia untuk membuka UKM Offshore Centre di Jakarta awal bulan ini mengukuhkan lagi penjenamaan pendidikan tinggi Malaysia.

Kerjasama strategik EMGS dan Kementerian Agama Indonesia turut berjaya memberi peluang kepada pensyarah di bawah kementerian untuk melanjutkan pengajian di Malaysia dengan Universiti Utara Malaysia menerima kelompok pertama pelajar biasiswa awal tahun ini.

Lonjakan ini sekaligus membuktikan hubungan baik di antara Indonesia dan Malaysia dalam bidang Pendidikan dapat dipereratkan lagi ke satu tahap yang lebih tinggi.

Indonesia dan Malaysia sama-sama meraikan sambutan kemerdekaan bulan ini. Semangat kemerdekaan perlu terus disepadukan agar dua negara serumpun yang berdaulat ini terus merintis kemajuan di persada dunia melalui pendidikan.

EDUCATION MALAYSIA GLOBAL SERVICES (EMGS)
20 OGOS 2024

Top